ANALISA USG 2015 - 2017
Pencapaian pasukan FKE bagi kejohanan UTM Staff Games untuk 3 tahun bermula 2015 hingga 2017 adalah sangat konsisten dan boleh dibanggakan. Jika dilihat dari segi jumlah pungutan pingat, tiada perbezaan ketara bagi ketiga-tiga tahun tersebut, walaupun ada sedikit pengurangan 2 pingat pada tahun 2017. Pada tahun 2017, FKE telah meneruskan kesungguhan dan semangat juang yang sangat tinggi apabila berjaya menggondol 6 pingat EMAS sekaligus memperbaiki jumlah kutipan pingat EMAS bagi dua tahun sebelumnya iaitu 4 pingat EMAS pada tahun 2016 dan 5 pingat EMAS pada tahun 2015.
Pasukan FKE diharap dapat mengekalkan momentum pingat EMAS bagi acara bola tampar wanita serta acara permainan dalaman Catur, Karom dan Dart untuk terus bersaing di masa akan datang. Melihat kepada prestasi semasa dan semangat yang ditunjukkan oleh para pemain pada tahun 2017, tidak mustahil pada masa akan datang lebih banyak kejayaan yang dapat dilakarkan oleh pasukan FKE sekiranya terus membuat latihan berterusan.
Paling penting adalah jangan sesekali takut untuk turun bertarung kerana tanpa penyertaan, semestinya ia adalah satu kekalahan. Semoga lebih ramai atlet dari FKE yang akan turun menyertai acara-acara dalam UTM Staff Games seperti dalam acara Olahraga, Futsal dan Bolasepak yang semakin ketandusan pemain. Syabas diucapkan kepada semua pemenang edisi 2017, yang gagal, tetap diucapkan syabas atas semangat juang yang tinggi di tunjukkan. Semoga warga FKE terus bersatu dan membina ukhuwah yang kukuh dengan bersukan.
SEKILAS FAKTA EDISI 2017
Pasukan Bola Jaring berjaya menurunkan pemain pada edisi 2017 setelah gagal melengkapkan pemain pada tahun 2016.
Pingat pertama (PERAK) disumbangkan oleh Dr Eileen dan Dr Nurul Mu'azzah dalam acara Ping Pong Beregu Wanita.
En Aidil dan En Mohd Azrul menjadi penyumbang pertama pingat EMAS apabila muncul Johan Dart Lelaki.
Pasukan Bola Tampar Wanita FKE merupakan satu satunya pasukan yang menang dengan Straight Set sepanjang karnival berlangsung.
Pasukan Bola Tampar Wanita FKE juga satu satunya mempunyai jersi lengkap dengan nama dan nombor pemain masing-masing.
Pn Saodah menjadi pemain paling pantas memenangi perlawanan Bola Tampar dengan hanya "satu serve".
Pn Saodah juga merupakan peserta paling banyak menyertai acara sukan yang dipertandingkan.
Dr Rashidah muncul pemenang pingat EMAS terbanyak bagi kategori wanita iaitu dalam acara Catur Individu (W) dan Bola Tampar (W).
Dr Nasir muncul pemenang pingat EMAS terbanyak bagi kategori lelaki iaitu bagi acara Catur Individu (L) dan Catur Berpasukan (L).
Dr Nasir adalah satu-satunya pemain yang membuat HATRIK dalam acara Catur Individu (L) apabila mengekalkan pingat EMAS untuk 3 tahun berturut-turut sejak edisi 2015.
Dragon boat wanita menyaksikan kekalahan yang sangat-sangat tipis apabila dibezakan dengan 0.31 saat sahaja dengan lawannya.
Tragedi Dragon boat terbalik bagi kategori lelaki sesungguhnya akan menjadi satu sejarah apabila 3 cermin mata tenggelam di Tasik Ilmu.
Acara sukan paling "Havoc" adalah Dragon boat kerana selesai sahaja acara yang dipertandingkan, masing-masing pasukan terus membuat "post-mortem" dan bertekad untuk bangkit pada edisi akan datang.
Peserta Dragon boat berazam untuk menurunkan berat badan masing-masing apabila hasil bedah siasat, "berat" menjadi punca bot tidak stabil.
En Isa mengemudi kedua-dua Dragon boat lelaki dan wanita dengan baik. Beliau juga dua kali terjun ke dalam tasik demi memastikan kestabilan pasukan FKE.
En Azri Hohad merupakan peserta paling banyak Selfie serta menjadi penyokong yang sentiasa berada di kebanyakan acara yang berlangsung.
Pn Sri Nurul Izza satu-satunya peserta olahraga yang berjaya mengutip pingat (PERAK) dalam banyak acara yang dipertandingkan dan menjadi penyumbang pingat terakhir buat FKE.
Sekian sahaja untuk Edisi 2017, semoga berjumpa lagi dengan semangat dan azam yang baru pada Edisi 2018. Kita sudahi analisa ini dengan video tragedi boat terbalik pasukan FKE sewaktu separuh akhir menentang Bendahari yang semestinya akan segar dalam ingatan. Alhamdulillah semua peserta selamat, walaupun ada yang kehilangan cermin mata dan kerosakan telefon bimbit. Segala kelemahan pada tahun ini kita cuba perbaiki di masa akan datang demi menjaga nama baik FKE.
'SATU FAKULTI SATU HATI'

Video ini adalah milik Unit Sukan UTM (En Armadi), yang di ambil dari Facebook Datuk Supandi
Gambar sumber dari Facebook Datuk Supandi (gambar rasmi UTM)