BADMINTON

Ahad, 24 Julai 2016 - Pasukan Badminton (W) meneruskan usaha FKE dalam memburu pingat pada hari ke-3 dengan mara ke suku akhir selepas menewaskan pasukan PSZ dengan aggregat 2-1. Bermula dengan kekalahan 12-21 pada set pertama, beregu pertama FKE iaitu Cik Radiah/Pn Saodah tidak mudah patah semangat apabila menang pada set kedua dengan perlawanan diheret sehingga mata 25-23. Berbekalkan keyakinan yang tinggi, pada suatu ketika, kedudukan terikat pada mata 19-19 di set ketiga, namun kawalan dan pukulan bola yang baik selepas aksi berbalas pukulan bertubi-tubi telah memberi kemenangan kepada mereka, 21-19. Sementara itu, Pn Normanisna turun selaku perseorangan pada perlawanan kedua. Walaupun tentangan telah diberi pada tahap maksimum, FKE kurang bernasib baik apabila beliau tewas pada set pertama dengan 14-21 dan set kedua 9-21. Kekalahan ini sudah tentu akan membakar semangat beliau untuk bermain dengan baik di suku akhir nanti. Selepas FKE dan PSZ terikat dengan 1-1, kini cabaran seterusnya digalas pada bahu beregu kedua iaitu pasangan Dr Nurul Mu'azzah/Dr Nurzal Effiyana. Kurang membuat kesilapan serta terus membuat "smash" apabila bola tanggung di hadapan menjadi kunci kemenangan kepada beregu kedua ini dengan straight set iaitu dengan kemenangan set pertama, 21-18 dan set kedua, 21-9. Syabas kepada semua pemain dan penyokong atas semangat juang dan semangat sukan yang sangat tinggi. Semoga FKE dapat meneruskan kecemerlangan di peringkat suku akhir.

Pasukan Badminton (L) turun dengan misi sukar kerana berada di dalam kumpulan "maut" iaitu bersama-sama dengan finalist edisi USG sebelum ini iaitu Pendaftar dan FKA. Aksi pertama pasangan beregu utama FKE iaitu Dr Fadli/Dr Fairus walaubagaimanapun membuahkan kemenangan straight set ke atas lawan mereka. Permainan yang berhati-hati serta tidak mensia-siakan peluang memberi kelebihan kepada mereka. Turun selaku pemain perseorangan, Dr Ridzuan tampak lebih sukar apabila bertemu dengan pemain UTM. Beliau tewas dalam pertarungan ini walaupun pada satu ketika beliau sudah dapat momentum untuk mengawal segenap penjuru gelanggang. Beregu kedua iaitu Hj Anuar/PM Dr Ramlee turun untuk memburu kemenangan kepada FKE selepas FKE terikat 1-1 dengan Pendaftar. Menurut rakan sepasukan, peluang untuk menang adalah 50:50. Setelah bertarung hampir 25 minit, mereka terpaksa akur dengan kekuatan lawan apabila tewas dan seterusnya kemenangan berpihak kepada pasukan Pendaftar dengan 2-1. Perlawanan seterusnya adalah dengan FKA dan perlu menang untuk mara ke peringkat suku akhir. Doakan yang terbaik kepada mereka untuk terus berjuang habis-habisan demi FKE.

Isnin, 25 Julai 2016 - Skuad Badminton (W) turun mengejar misi ke separuh akhir pada hari ini. Alhamdulillah, setelah hampir 30 minit menunggu, tatkala pemain bola tampar terumbang-ambing dalam membuat keputusan untuk membuat latihan, dek kerna hujan renyai-renyai membasahi gelanggang, akhirnya mereka mara ke separuh akhir dengan kemenangan paling "bergaya" menewaskan Naib Johan Kumpulan C. Syabas diucapkan semoga mereka dapat lakukan yang terbaik di peringkat separuh akhir dan seterusnya melangkah ke peringkat akhir. Berikut adalah beberapa keping gambar kenangan aksi pemain sewaktu bertarung di peringkat suku akhir. 

Pada sebelah malamnya, pasukan Badminton (L) turun untuk merebut slot ke peringkat seterusnya. Hanya kemenangan yang melayakkan mereka. Atas sebab "kesilapan" teknikal pihak lawan, akhirnya FKE telah diisytiharkan menang 3-0 dan menduduki tangga kedua kumpulan. Syabas diucapkan kepada semua pemain yang daripada pemerhatian penulis, mereka telah bermain bersungguh-sungguh dengan semangat yang luar biasa. Berikut adalah susunan pemain (lelaki) pada hari ini di mana ada sedikit perubahan strategi berbanding hari sebelumnya. 

Beregu pertama - Dr Fairus/Hj Anuar

Perseorangan - Dr Mohd Fadhli

Beregu kedua - Dr Ridzuan/En Mohsin

****************************************************************************************

Rabu, 27 Julai 2016 - Hanya pasukan badminton (L) yang bertarung hari ini kerana pasukan badminton (W) telah mara ke separuh akhir yang dijadualkan esok. Bertemu dengan FKM, peluang yang diramalkan adalah 50:50. Beregu pertama FKE iaitu Dr Fadhli/Dr Ridzuan tewas di set pertama tetapi bangkit pada set kedua untuk mengheret perlawanan ke rubber set. Namun, pemain FKM yang lebih berpengalaman telah berjaya menewaskan FKE, menjadikan kedudukan 0-1 kepada FKE. Percaturan untuk pemain single kali ini tampak memihak kepada FKE apabila Dr Fairus telah menang dengan straight set. Tidak dinafikan kehadiran isteri beliau yang selalu datang memberi sokongan dan membancuh air glukos sedikit sebanyak memberikan suntikan semangat untuk terus melakarkan kejayaan kepada pasukan FKE. Terikat 1-1 selepas kemenangan pemain perseorangan, beregu ketiga FKE iaitu Hj Anuar/En Mohsin turun dengan misi untuk melayakkan ke separuh akhir. Apabila teringat pada satu bait lagu "walau genggamannya kuat, tapi bukan milik kita, akan terlepas jua", maka pasukan FKE tahun ini terpaksa menerima hakikat bahawa bukan rezeki mereka untuk meraih pingat pada edisi USG kali ini. Walaupun mereka tewas straight set, mereka sedaya upaya berjuang hingga ke titisan peluh terakhir pada malam ini. Syabas diucapkan sekali lagi kepada mereka kerana telah bersungguh-sungguh bermain demi FKE. Doakan yang terbaik untuk pasukan badminton (W) yang akan bertemu dengan FKK/FKT pada esok hari di peringkat separuh akhir.

Khamis, 28 Julai 2016 - Badminton (W) menamatkan pertandingan USG-Bakes pada edisi kali ini dengan meraih pingat Gangsa setelah tewas kepada juara bertahan FKK/FKT pada aksi separuh akhir pada hari ini. Walaupun bermula dengan baik dengan jamuan hari raya fakulti di sebelah tengaharinya serta dengan kehadiran penyokong-penyokong, nasib tidak menyebelahi pasukan FKE apabila terpaksa akur dengan kekuatan lawan dengan kekalahan 0-2. Syabas dan tahniah atas semangat yang ditunjukkan sehingga berjaya memasuki peringkat separuh akhir. Susunan pemain adalah Beregu Pertama - Pn Sri Nurul Izza/Cik Radiah, Perseorangan - Dr Norjulia dan Beregu ketiga - Dr Nurul Mua'azzah/Dr Nurzal Effiyana.